Antara individu yang terbabit dalam himpunan Keluar dan #Lawan yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja ketika sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Antara individu yang terbabit dalam himpunan Keluar dan #Lawan yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja ketika sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan 47 individu lagi yang terbabit dalam perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini seramai 11 individu sudah hadir bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan berkenaan.

"Satu kertas siasatan berhubung perhimpunan ini dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan jangkitan) 2021.

"Justeru polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan 47 individu yang sedang dikesan ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Azmi berkata, setakat ini sebanyak 19 laporan polis diterima pihaknya di seluruh negara.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohamad Hermi Abu Bakar di talian 014-9099144 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222," katanya.

Terdahulu, 11 individu dipercayai penganjur hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan berkenaan.

Sabtu lalu, kira-kira 400 individu berkumpul berhampiran Dataran Merdeka di sini.

Himpunan yang dianjurkan Sekretariat Soladiriti Rakyat itu dipercayai diadakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:09 PM