Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mewartakan pengecualian pembaharuan Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi yang tamat tempoh pada April dan Mei ini sehingga 31 Mei ini.

Bagaimanapun bagi tempoh lesen memandu dan LKM tamat pada Februari dan Mac pula, mereka diberi masa dua bulan untuk menjelaskan bayaran tertunggak itu bermula 1 April ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bagi mengelak berlaku kesesakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa negeri masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan, beliau akan mewartakan hari ini bagi mereka yang tamat lesen memandu serta LKM pada April dan Mei diberi pengecualian sebelum mula memperbaharuinya bermula 1 Jun hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, MOT membuatnya secara berfasa bertujuan untuk mengelak berlaku kesesakan di kaunter JPJ dan mereka hanya perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan mengemukakan salinan sijil perlindungan itu atau e-cover note jika ada sekatan jalan raya.

"Bagi perwartaan sebelum ini kita mempunyai tunggakan sebanyak RM1.3 juta untuk cukai jalan dan saya membuat keputusan setelah berbincang dengan JPJ serta kementerian iaitu mereka yang tamat tempoh Februari dan Mac atau sebelumnya boleh membuat pembayaran di JPJ sama ada secara dalam talian melalui platform sedia ada atau ke JPJ bermula 1 April hingga 31 Mei.

"Dua perkara yang kita akan lakukan iaitu menambah bilangan kakitangan di cawangan JPJ tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai di mana akan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had RM5 (MyRail5) di Kl Sentral, di sini, hari ini.

KA Siong ketika berucap di majlis pelancaran Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had MYRAIL5. FOTO Hairul Anuar Rahim
KA Siong ketika berucap di majlis pelancaran Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had MYRAIL5. FOTO Hairul Anuar Rahim

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin.

Ka Siong berkata, ini supaya dapat meredakan keadaan dan tidak mahu nanti apabila tunggakan terlalu banyak akhirnya cawangan JPJ akan diserbu orang ramai.

"Keduanya kita menggunakan pendekatan menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah dalam talian supaya tidak ada terlalu banyak bersemuka dengan mana-mana orang.

"Saya harap dengan cara ini dapat menguruskan orang yang ramai kerana JPJ setiap tahun perlu mengurus lebih 20 juta orang... jadi kita tidak boleh buat secara tergesa-gesa," katanya.

Beliau berkata, disebabkan pandemik dan ingin mengawal penularan Covid-19 terpaksa keputusan ini dibuat secara berfasa.

"Bayangkan jika tunggakan selama empat bulan, bermaksud RM2.6 juta sudah pasti semua akan menyerbu JPJ dan lebih praktikal dibuat seperti diputuskan itu.," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 12:27 PM