Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi kelonggaran kepada pemilik Lesen Memandu (LM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh antara 1 Jun sehingga 31 Julai ini untuk memperbaharui lesen dalam tempoh 60 hari bermula 1 Ogos hingga 30 September nanti.

Dalam kenyataannya semalam, kementerian itu memaklumkan pemilik LKM yang tamat tempoh perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans (e-cover note) sekiranya diminta pihak berkuasa.

"Kaunter bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan adalah ditutup sementara, namun orang ramai boleh berurusan secara dalam talian menerusi e-auto atau MyEG.

"Kiosk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuka dari 8.30 pagi hingga 4 petang bagi kiosk dalam premis JPJ dan 6 pagi hingga 8 malam (kiosk di luar premis) mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak pula memberi pengecualian memperbaharui lesen dan permit membabitkan Lesen Pengendali, Permit Kenderaan Perdagangan, Lesen Kenderaan Pelancongan dan Kad Pemandu," katanya.

Menurutnya, semua lesen dan permit yang dinyatakan berkenaan dibenarkan beroperasi walaupun sudah tamat tempoh dengan syarat mempunyai perlindungan insurans yang sah.

"Bagi tempoh sah laku kelulusan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula dilanjutkan mengikut baki selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Selain itu, MOT juga menggalakkan orang ramai supaya berurusan dengan mana-mana agensi secara dalam talian untuk perkhidmatan yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 11:48 AM