GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Satu kelegaan kepada pengguna jalan raya.

Itu reaksi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) susulan langkah Kementerian Pengangkutan memberi perlanjutan terhadap tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 31 Disember ini.

Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie berkata, ia adalah keputusan yang tepat pada masanya ketika orang ramai masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima rungutan daripada orang ramai yang berdepan masalah untuk berbuat demikian.

"Banyak faktor yang menyebabkan pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu tidak dapat memperbaharuinya dalam tempoh ditetapkan.

"Satu daripadanya ialah bebanan kewangan serta masalah lain termasuklah kehidupan normal baharu. Ada juga yang tidak dapat menetapkan janji temu secara atas talian kerana masalah Internet dan sebagainya.

"PPJK merasakan, keputusan kementerian ini akan memberikan kelegaan kepada banyak pihak," katanya dihubungi.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sidang media hari ini berkata, pemilik LKM dan LMM yang tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember ini.

Kata Ka Siong, pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 3:54 PM