DR We Ka Siong beramah mesra ketika merasmikan Program Mesra Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ayer Hitam. FOTO Essa Abu Yamin
DR We Ka Siong beramah mesra ketika merasmikan Program Mesra Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ayer Hitam. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


TEMPOH memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) diberi lanjutan sehingga 30 September.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tempoh berkenaan yang tamat pada 31 Ogos ini akan dilanjutkan kerana memahami keperluan orang ramai.

"MOT sentiasa memahami keperluan orang ramai dan akan terus memainkan peranan sebagai sebuah kementerian yang prihatin lebih-lebih lagi pada waktu sukar ketika ini.

"Lanjutan itu selaras dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga 31 Disember depan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Mesra Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan di Dewan Komuniti Ayer Hitam di Batu Pahat, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali.

Menurut beliau, diskaun 70 peratus pembayaran saman kerana LMM dan LKM tamat tempoh juga bakal dilanjutkan untuk tempoh sama.

"Mengikut data terdapat 300,000 individu yang disenarai hitam kerana tidak bayar tunggakan saman atas kesalahan LMM dan LKM tamat tempoh.

"Ada yang mengadu kerana tidak mampu membayar saman sama ada RM150 hingga RM300 yang dikenakan.

"Ada yang tak boleh bekerja sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing yang wajib memiliki lesen LKM dan LMM sah, maka saya mengambil keputusan melanjutkan tempoh ini," katanya.

Katanya, ia selaras dengan kuasa Menteri mengikut Seksyen 66(1) (x) dan 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, ia tidak terpakai bagi mereka yang memang tidak mempunyai selain tamat tempoh lesen LMM dan LKM sebelum PKP pada 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 6:59 PM