GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


URUSAN memperbaharui Lesen Memandu atau Competent Driver’s License (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) boleh dilakukan secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan itu diambil selaras dengan keputusan pihaknya menutup semua perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di pejabat pos seluruh negara bermula 20 sehingga 31 Mac ini.

“Perkhidmatan ini boleh dilakukan menerusi laman sesawang MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

“Orang awam yang tidak memiliki nombor identiti (ID) bagi mengakses MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi MyEG,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ka Siong berkata, orang ramai yang sudah memperbaharui CDL atau LKM menerusi kedua-dua laman sesawang itu sepanjang tempoh PKP tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM secara fizikal.

“Bukti pembayaran fi CDL atau LKM menerusi portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti. Justeru, orang ramai diminta supaya tidak tergesa-gesa bagi mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang sudah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanya untuk kegunaan sepanjang tempoh PKP saja. Orang ramai dikehendaki untuk mendapatkan pelekat LKM dan kad CDL sebaik saja perintah PKP ditarik semula,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan konsultasi dan perbincangan bersama pihak Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful baru-baru ini bagi mempermudahkan urusan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

“Seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans sah ketika ini.

“Justeru itu, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi laman sesawang syarikat insurans berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 10:29 PM