Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bangunan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Damansara di sini, dikosongkan pagi ini.

Beberapa pegawai dan kakitangan kedutaan itu dilihat menaiki bas persiaran sebelum beredar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tepat jam 11 pagi.

Bagaimanapun, hanya ada beberapa penumpang saja yang menaiki kenderaan itu kerana berdasarkan maklumat terdapat kakitangan dan ahli keluarga kedutaan memilih bergerak sendiri ke KLIA.

Sebelum ini, bas persiaran itu tiba jam 9.11 pagi dan memasuki pekarangan bangunan kedutaan berkenaan disertai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik kedutaan.

Difahamkan, kesemua pegawai dan kakitangan di kedutaan itu dijadualkan menaiki penerbangan petang ini, sebelum transit di Beijing, China seterusnya meneruskan perjalanan ke Korea Utara.

Kedutaan itu dikatakan mempunyai kira-kira 20 pegawai dan kakitangan serta tanggungan.

Kesemua mereka juga sudah menjalani ujian saringan Covid-19 bagi membolehkan mereka meninggalkan negara ini dengan menaiki penerbangan itu.

Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

BEBERAPA kakitangan kedutaan Korea Utara dilihat membawa troli berisi kotak menaiki bas. FOTO FATHIL ASRI.
BEBERAPA kakitangan kedutaan Korea Utara dilihat membawa troli berisi kotak menaiki bas. FOTO FATHIL ASRI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 11:47 AM