KANG Chol meninggalkan perkarangan Kedutaan Korea Utara. FOTO Asyraf Hamzah
KANG Chol meninggalkan perkarangan Kedutaan Korea Utara. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedutaan Korea Utara di sini masih lagi membisu, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, Isnin lalu.

Kumpulan media tempatan dan asing yang berkumpul sejak beberapa hari lalu di kedutaan itu di Bukit Damansara, hampa apabila Duta Kang Chol dan pegawai kedutaan yang keluar-masuk premis itu enggan melayani usaha media untuk mendapatkan kenyataan daripada mereka.

Terbaru, kenderaan rasmi yang membawa Kang Chol dilihat keluar dari kedutaan itu pada 3.20 petang dipercayai untuk membawa beliau ke Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, iaitu tempat proses bedah siasat Jong-nam dilakukan Rabu lepas.

Kumpulan media yang masih berada di luar kedutaan itu sekali lagi cuba mendapatkan reaksi Kang Chol termasuk mengetuk cermin kenderaan bagi menarik perhatian beliau tetapi gagal.

Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya, dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol, pada pasportnya, dilaporkan mati ketika dibawa ke hospital.

Setakat ini polis menahan dua wanita yang memiliki pasport asing dan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:29 PM