KUMPULAN diplomat dan ahli keluarga ketika menaiki troli berkenaan.
KUMPULAN diplomat dan ahli keluarga ketika menaiki troli berkenaan.
Agensi

Pyongyang: Sekumpulan diplomat Rusia bersama keluarga mereka meninggalkan Korea Utara dengan cara luar biasa apabila terpaksa menaiki troli digerakkan dengan tenaga manusia, di landasan kereta api.

Kumpulan terdiri daripada lapan orang itu menaiki troli berkenaan dan menggunakan landasan kereta api sejauh satu kilometer untuk sampai di sempadan Rusia, lapor BBC News.

Korea Utara menyekat kemasukan sebahagian besar kenderaan penumpang ke negara itu bertujuan mengawal penularan Covid-19.

Sejak tahun lalu, kereta api dilarang untuk masuk atau keluar dari negara itu.

Selain itu, pengangkutan udara diarah untuk tidak beroperasi.

Perkara itu menyebabkan kumpulan diplomat Rusia berkenaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk pulang ke negara asal.

"Oleh kerana sempadan ditutup lebih setahun lalu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menempuh perjalanan sukar untuk pulang," kata Kementerian Luar Negeri Rusia menerusi Facebook.

Gambar yang dikongsi di status berkenaan menunjukkan kumpulan berkenaan membawa beg pakaian menggunakan troli dengan berlatarkan pemandangan musim sejuk.

Setiausaha Ketiga kedutaan, Vladislav Sorokin menjadi tenaga 'penggerak' supaya troli itu dapat menyeberangi jambatan di Sungai Tumen ke Rusia.

Ia memandangkan pergerakan troli itu menggunakan tenaga manusia.

Sebelum menaiki troli itu, mereka sudah menempuh perjalanan selama 32 jam dengan kereta api dan menaiki bas selama dua jam, dari Pyongyang untuk sampai ke sempadan Rusia.

Pegawai kementerian menyambut mereka di sebuah stesen di Rusia sebelum kumpulan itu menaiki bas untuk ke lapangan terbang Vladivostok.

Sejak penularan Covid-19, Pyongyang memperketat kawalan pergerakan menyebabkan ramai diplomat asing meninggalkan negara berkenaan dan menutup kedutaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:31 AM