Sebuah bas yang dipercayai akan membawa kakitangan kedutaan Korea Utara dilihat tiba di premis kedutaan tersebut kira-kira 9.30 pagi ketika tinjauan di kedutaan tersebut di Jalan Batai di sini. FOTO BERNAMA
Sebuah bas yang dipercayai akan membawa kakitangan kedutaan Korea Utara dilihat tiba di premis kedutaan tersebut kira-kira 9.30 pagi ketika tinjauan di kedutaan tersebut di Jalan Batai di sini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah bas persiaran dipercayai untuk membawa pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba di Jalan Batai, Damansara di sini, pagi ini.

Kenderaan berkenaan tiba jam 9.11 pagi sebelum dilihat memasuki pekarangan bangunan kedutaan berkenaan.

Difahamkan, kesemua pegawai dan kakitangan di kedutaan itu dijadualkan menaiki penerbangan pada petang ini, dan akan transit di Beijing, China sebelum meneruskan perjalanan ke negara mereka.

Kesemua mereka juga sudah menjalani ujian saringan Covid-19, semalam bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan itu.

Sejak 7 pagi, pengamal media daripada pelbagai agensi sudah mula menunggu di hadapan bangunan berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan situasi yang berlaku.

Kawasan berkenaan turut dikawal ketat oleh anggota polis.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Malah, Malaysia amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 10:29 AM