Roselan Ab Malek


Jerantut: Seorang pengusaha ikan sangkar dikhuatiri lemas berdekatan sangkar ikannya di Kampung Lada, dekat sini, 12 tengah malam tadi.

Mangsa, Ariff Helmi Saharudin, 26, dari Kampung Pedah dipercayai terjatuh ketika memberi makanan kepada ikan di sangkarnya itu.

Rakannya, Fauzi Dollah, 46, berkata, selepas mereka mengambil ikan di sangkar pada 11 malam, dia terus naik ke kenderaan yang diletakkan kira-kira 50 meter dengan membawa ikan ditangkap itu.

"Ariff menyuruh saya naik dahulu kerana dia mahu memberi ikan makan dan ketika itu, saya masih nampak cahaya lampu suluh digunakannya.

"Oleh kerana menunggu agak lama, saya melihat semula ke arah sangkar dan cahaya lampu suluh digunakan tiada lagi.

"Saya terus turun semula ke kawasan untuk mencarinya, namun kelibatnya tidak kelihatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Fauzi berkata, dia terus ke jalan utama untuk mencari bantuan, kebetulan ada ramai orang berdekatan surau di kawasan itu.

Menurutnya, dia bersama penduduk kampung terus turun ke tebing sungai untuk mencari mangsa, namun gagal menemuinya.

"Saya berasal dari Jengka 11 dan tidak sangka dia beria-ia mahu membawa saya melihat sangkar ikannya itu adalah ajakan kali terakhir.

Ariff Helmi Saharudin, 26, dari kampung Pedah  dipercayai lemas kerana terjatuh ketika memberi makan ikan di sangkarnya itu.
Ariff Helmi Saharudin, 26, dari kampung Pedah dipercayai lemas kerana terjatuh ketika memberi makan ikan di sangkarnya itu.

"Memang sudah banyak kali dia mengajak saya melihat sangkarnya, jadi malam tadi saya mengikut ke sangkar miliknya di Kampung Lada pada 11 malam dan tidak sangka, ini pula yang berlaku," katanya.

Ayah mangsa, Saharudin Ali, 68, berkata kejadian itu tidak diduga kerana anaknya sudah menternak ikan sangkar sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, mangsa adalah anak ketika daripada enam beradik dan disifatkan sebagai seorang yang periang serta banyak bercakap ketika berada di rumah.

"Dia jarang ada di rumah dan cuma balik rumah ketika makan tengah hari dan malam kerana sibuk dengan kerjanya.

"Tetapi apabila ada di rumah dia sering bergurau senda dengan adik beradiknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.15 pagi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan bermula 8 pagi hari ini.

Operasi SAR membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air BBP Bukit Angin, Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:43 PM