SHOPEE. FOTO arkib NSTP
SHOPEE. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Platform e-dagang Shopee sentiasa komited dalam memastikan agenda kesihatan negara diberi perhatian.

Shopee menerusi kenyataan berkata, gambar yang menunjukkan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian yang tersebar itu adalah palsu.

Malah, Shopee menegaskan bahawa pihaknya mendapati tiada sebarang penyenaraian barang berkenaan di platform jualannya.

"Shopee sedia maklum satu ciapan yang menggambarkan penjualan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer di platform kami telah diwar-warkan di media sosial Twitter dan juga tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

"Shopee mengesahkan bahawa tiada sebarang penyenaraian barang terbabit di platform kami.

"Malah, penulis ciapan berkenaan sudah mengesahkan bahawa gambar itu adalah palsu dan ia rekaan semata-mata dan tidak wujud di Shopee," katanya.

Menurut kenyataan, Shopee berpandangan bahawa isu kesihatan negara bukan perkara yang boleh dianggap remeh.

"Bagaimanapun, Shopee sudah memaklumkan berita palsu ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa penyebaran maklumat palsu berkaitan vaksin sedang dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM," katanya.

Baru-baru ini, tular sekeping foto memaparkan vaksin Covid-19 Pfizer yang dijual menerusi platform jualan dalam talian.

KKM turut mengesahkan iklan jualan membabitkan vaksin Covid-19 Pfizer yang tular di media sosial adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 5:51 PM