SATU hantaran mendakwa gudang milik Shopee di Shah Alam, Selangor, ditutup kerana terdapat kira-kira 50 kes positif dilaporkan di premis berkenaan yang tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca
SATU hantaran mendakwa gudang milik Shopee di Shah Alam, Selangor, ditutup kerana terdapat kira-kira 50 kes positif dilaporkan di premis berkenaan yang tular di media sosial. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Platform e-dagang, Shopee menafikan dakwaan penutupan gudang di Shah Alam, Selangor disebabkan ramai pekerja dijangkiti Covid-19 seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Shopee dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pihaknya menerima garis panduan tambahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dilaksanakan di gudang berkenaan pada 9 Julai lalu.

"Tindakan (penutupan) itu diambil kerana gudang di Shah Alam terbabit berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Perkara ini tiada kaitan dengan dakwaan terdapat kes Covid-19 direkodkan di gudang berkenaan. Malah, pemeriksaan itu juga adalah berasingan daripada pemeriksaan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Julai lalu," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan gudang berkenaan akan ditutup buat sementara waktu untuk melaksanakan SOP tambahan dalam tempoh terdekat.

"Shopee masih beroperasi seperti biasa dengan penghantaran dibuat oleh Shopee Express dan semua rakan penghantaran kami yang lain tidak terjejas.

"Kelewatan penghantaran mungkin berlaku untuk penghantaran di gudang Shah Alam sahaja, yang juga adalah sebahagian kecil daripada pesanan keseluruhan platform kami," katanya.

Katanya, pembeli yang berdepan pesanan terjejas juga akan menerima pemberitahuan melalui akaun Shopee mereka.

"Perkara ini juga tidak akan menjejaskan operasi platform kami secara keseluruhan dan Shopee akan terus membekalkan semua keperluan.

"Kami memohon kesabaran daripada semua pihak kerana perjuangan melawan pandemik ini adalah isu nasional dan kita harus memainkan peranan masing-masing," katanya.

Katanya, Shopee akan terus bekerjasama dengan KKM dan semua pihak berkuasa berkaitan.

Terdahulu, satu hantaran mendakwa gudang Shopee ditutup kerana terdapat kira-kira 50 kes positif Covid-19 dilaporkan, seperti tular di media sosial, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 8:47 PM