GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk meningkatkan pemantauan terhadap isu penipuan di internet terutama membabitkan penjualan vaksin palsu.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, selain KKMM orang ramai juga dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana laman web yang menjual vaksin Covid-19.

"Bagi menangani isu penjualan vaksin Covid-19 secara tidak sah dalam talian (online), semua pihak perlu memainkan peranan.

"Kami menggesa agar KKMM meningkatkan pemantauan terhadap kes penipuan penjualan vaksin haram atau palsu yang dijual secara online.

"Ini kerana hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sahaja yang diberi kuasa untuk mengendalikan vaksin Covid-19," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, jualan secara komersial mana-mana vaksin Covid-19 adalah dilarang sama sekali.

Dr Subramaniam mengulas mengenai iklan menjual vaksin Covid-19 Pfizer yang tular baru-baru ini kerana dijual menerusi platform dalam talian.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta agar mendapatkan maklumat rasmi mengenai vaksin melalui laman www.vaksincovid.gov.my.

"Selain itu, mereka boleh mendapatkan maklumat dari KKM, portal rasmi atau penerbitan yang yang sahih," katanya.

Sebelum ini, polis turut menerima dua laporan berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 membabitkan kerugian berjumlah RM285,499.

Pihak berkuasa itu turut mengesan terdapat penularan maklumat di media sosial berkaitan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

Tamat

#kw vaksin, Covid-19, palsu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 8:03 PM