GAMBAR hiasan. Nur Hafiza Ahmad Hairi, 18, (kanan) dan Ummi Kalsum Ahmad Hairi , 16, dai kampung Mat Daling, Ulu Tembeling ke masjid, 18 Jun lalu untuk mengikuti PdPR kerana tiada liputan Internet di rumah. FOTO Roselan Ab Malek
GAMBAR hiasan. Nur Hafiza Ahmad Hairi, 18, (kanan) dan Ummi Kalsum Ahmad Hairi , 16, dai kampung Mat Daling, Ulu Tembeling ke masjid, 18 Jun lalu untuk mengikuti PdPR kerana tiada liputan Internet di rumah. FOTO Roselan Ab Malek
BERNAMA

Georgetown: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bersama pihak Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi mengenal pasti kawasan yang tiada liputan Internet atau capaian lemah bagi mengatasi masalah ketika pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, menerusi jawatankuasa itu, pihaknya akan turun padang untuk melihat dan memantau sendiri kawasan yang tiada liputan atau capaian Internet rendah dan mengambil langkah segera mengatasinya.

"Sejak PdPR dilaksanakan, kami menerima makluman berhubung murid dan pelajar menghadapi masalah capaian Internet sehingga ada (murid) yang terpaksa berjalan jauh dari rumah untuk mendapatkan akses tersebut (Internet).

"Menerusi jawatankuasa ini, kita harap dapat mengatasi masalah tiada capaian Internet atau capaian lemah bukan sahaja di kawasan luar bandar atau jauh di pedalaman tetapi juga di tempat keselamatan seperti balai polis atau kem tentera yang capaian lemah dapat diperbaiki dan dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Program Vaksinasi Warga Media Pulau Pinang di Klinik Kesihatan Bandar Baru Ayer Itam di sini hari ini, bagi mengulas beberapa laporan akhbar berhubung masalah capaian Internet dalam kalangan murid dan pelajar ketika mengikut PdPR sehingga mengganggu proses tersebut.

Zahidi berkata, selain TM, pihaknya juga akan meminta syarikat telekomunikasi yang lain untuk membantu memastikan kawasan luar bandar mendapat liputan Internet yang baik kerana ketika ini ia sangat penting kepada semua pihak.

"Jawatankuasa ini juga akan mendapatkan maklumat daripada syarikat telekomunikasi mengapa perkara tersebut berlaku dan langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya, sekarang kita tengah usahakan (rangkaian) 4G di seluruh negara.

"Selain itu, KKMM juga telah menyalurkan sebanyak RM15 juta kepada Kementerian Pendidikan untuk disalurkan kepada murid kurang berkemampuan bagi membeli gajet diperlukan untuk PdPR mereka," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKMM sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk membantu petugas dalam industri media yang kehilangan pekerjaan bagi memastikan mereka dapat meneruskan kerja dalam bidang lain.

Katanya setakat ini, berdasarkan maklumat diterimanya terdapat kira-kira 5,000 pengamal media telah diberhentikan kerja dan pihaknya juga dalam perancangan untuk menyalurkan bantuan 'one off' kepada mereka.

"Kami tengah bincang dan berusaha bantu pengamal media yang dibuang kerja dengan memberikan latihan bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:22 PM