Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Sindiket penyeludupan dikesan masih menggunakan laluan 'tikus' di sempadan Malaysia-Thailand di Felda Mata Ayer, Padang Besar terutama di kawasan insiden pertempuran antara dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dengan sindiket penyeludup pada November lalu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, walaupun kawasan itu kini sudah dikawal ketat, namun penyeludup sentiasa mencari peluang untuk menggunakan laluan 'tikus' yang sama di kawasan itu untuk menyeludup barang terutama daun ketum ke negara jiran.

"Selepas kejadian berkenaan, penugasan anggota kita di kawasan berkenaan dipertingkatkan, namun ia tidak menghalang penyeludup untuk menggunakan laluan yang sama untuk menyeludup barang walaupun kita berjaya mematahkan pelbagai cubaan berkenaan.

"Berdasarkan rondaan di kawasan itu, terdapat tiga hingga empat laluan 'tikus' dikenal pasti dan kita sudah membuat penggeledahan serta menutup laluan terbabit di samping mempertingkatkan rondaan serta kawalan," katanya dalam sidang media Penugasan Op Benteng-Covid Sempadan Darat Malaysia-Thailand di Pos PB 11, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghani menyaksikan pertukaran penugasan Op Benteng-Covid Sempadan Darat Malaysia-Thailand Briged Utara antara Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin dengan Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Superintendan Abdul Aziz Abdullah.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas.

ABDUL Ghani (tengah) menunjukkan antara kejayaan rampasan daun ketum termasuk kenderaan membabitkan Batalion 18 PGA Briged Utara sepanjang Januari di Padang Besar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
ABDUL Ghani (tengah) menunjukkan antara kejayaan rampasan daun ketum termasuk kenderaan membabitkan Batalion 18 PGA Briged Utara sepanjang Januari di Padang Besar. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Katanya, lorong 'tikus' berkenaan adalah lorong lama yang 'dibina' oleh sindiket penyeludup dan digunakan semula meskipun sudah berkali-kali ditutup oleh PGA.

"Faktor utama lorong itu digunapakai semula berbanding diwujudkan yang baru adalah kerana jarak lorong lama itu berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand serta akses ke jalan utama agak dekat dan mudah.

"Jarak lorong berkenaan dengan pagar sempadan dianggarkan sekitar dua kilometer, tetapi kita dapati ia sudah tidak aktif digunakan berdasarkan rondaan dilakukan, namun tetap memberi perhatian," katanya.

Menurutnya, penggeledahan yang kerap dilakukan di kawasan itu membuatkan penyeludup kini mula mengubah taktik dengan menggunakan laluan laut di perairan Kuala Perlis.

"Permintaan daun ketum yang meningkat menyebabkan penyeludup akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan ia dapat diseludup keluar ke Thailand termasuklah menggunakan laluan laut," katanya.

Dalam kejadian pada 24 November tahun lalu, anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi, manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah akibat ditembak selepas menyerbu penyeludup di Pos 9 sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:09 PM