GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Polis menumpaskan Geng Raj yang dipercayai aktif dengan kegiatan pecah tabung di rumah ibadat sekitar negeri Melaka dengan penahanan dua lelaki Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, serbuan oleh sepasukan polis dari cawangan D4 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka bersama JSJ Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin pada 12.30 pagi itu membawa kepada penahanan suspek di dua lokasi iaitu di Bukit Serindit dan Tehel.

Beliau berkata, dengan penahanan dua suspek berusia 22 dan 24 tahun itu, polis menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah tabung di rumah ibadat yang berlaku antara Disember 2020 hingga Februari 2021.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan masuk ke dalam rumah ibadat seperti masjid, surau atau tokong pada waktu malam hingga awal pagi dan memecahkan tabung dengan cara mengumpil atau membakar mangga tabung sehingga berjaya dibuka bagi mendapatkan wang tunai.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita turut merampas sebuah kereta dan motosikal serta pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sukri berkata, kedua-dua suspek kini direman hingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Sukri berkata pihak polis sedang mencari seorang lagi individu dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes ini iaitu Noor Rahman Abd Rahim berusia 24 tahun dan sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Mohd Hanafi Md Zam di talian 019-3646812.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 2:57 PM