WANG yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan Polis.
WANG yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Fatihah Sulaini


LELAKI yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau ditahan di Pantai Kampung Dalam Rhu, Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan, Isnin lalu kerana dipercayai terbabit kes pecah tabung masjid.

Malah, lelaki berusia 59 tahun berasal dari Kuala Besut, Jerteh itu baru tiga bulan dibebaskan dari penjara.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Besut pada 4.30 petang.

“Lelaki itu tidak bekerja dan baru keluar penjara tiga bulan lalu atas pelbagai kesalahan termasuk pecah rumah dan berkaitan dadah.

“Saringan ujian air kencing positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, susulan penahanan itu, pihaknya merampas 35 keping wang tunai RM1; sekeping wang RM5 dan duit syiling berjumlah RM6.

“Suspek mengaku melakukan kegiatan pecah tabung masjid sekitar Jerteh dan Kampung Raja sejak Disember tahun lalu hingga sekarang.

“Kegiatan dilakukan seorang diri pada waktu petang dan malam. Suspek menggunakan alat pemotong besi untuk memecah tabung masjid,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen

457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Siasatan setakat ini mendapati suspek terbabit dalam dua kes pecah tabung masjid di Kampung Raja dan satu lagi Jerteh.

“Suspek direman empat hari bermula tarikh tangkapan untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 5:29 PM