GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tujuh individu termasuk remaja keciciran sekolah berusia 15 tahun antara suspek diberkas polis kerana terbabit kegiatan pecah tabung dan curi di masjid serta surau di negeri ini dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua suspek terbabit melakukan jenayah itu secara solo dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM5,000.

"Tujuh suspek yang diberkas berumur lingkungan 15 hingga 35 tahun dan mereka dipercayai menggunakan wang curi itu untuk membeli dadah secara kecil-kecilan dan makanan kerana mereka tiada kerja tetap.

"Hasil pemeriksaan semua mereka turut mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Majid berkata, siasatan mendapati suspek melakukan jenayah pecah tabung di masjid dan surau antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.

"Mereka memecah masuk surau atau masjid dengan memakai topi keledar dan sarung muka.

"Polis mendapati masjid yang menjadi sasaran ada yang pintunya tidak dikunci dan ada yang diumpil," katanya sambil menambah penahanan semua suspek menyelesaikan lapan kes pecah tabung masjid dan surau.

Mengulas lanjut katanya, biarpun tangkapan dibuat terhadap kumpulan dan individu, kes pecah tabung di masjid dan surau di seluruh Melaka meningkat dengan ketara menyaksikan tujuh suspek diberkas dalam tempoh Januari hingga Februari lalu.

"Bagi tempoh kajian dari Januari hingga Februari lalu sebanyak 21 kes dibuka kertas siasatan berbanding hanya lapan kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan sebanyak 13 kes atau 163 peratus ini agak membimbangkan.

"Walaupun kerugian yang dilaporkan adalah kecil iaitu antara RM40 hingga RM1,500 bagi setiap kes, namun kejadian ini menyumbang kepada indeks semasa jenayah di Melaka," katanya.

Abdul Majid berkata, antara masjid dan surau yang menjadi sasaran ialah sekitar Tanjung Minyak, Tanjung Kling, Batang Tiga, Kandang, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 dan 480 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan curi dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:26 PM