SUSPEK yang ditahan polis kelmarin. FOTO tular
SUSPEK yang ditahan polis kelmarin. FOTO tular
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah pasangan warga emas, di Kuala Sungai Baru, di sini, ditahan polis kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan jam 1 tengah hari di Taman Rebana Jernih, Kuala Sungai Baru.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 78 tahun mengatakan rumahnya dipecah masuk, Selasa lalu.

"Kejadian disedari isteri pengadu kira-kira jam 6 pagi selepas mendapati beg tangannya yang sebelum itu diletakkan di dalam bilik berada di ruang tamu dan ada kesan selongkar.

"Pengadu kemudian memeriksa rumahnya sebelum mendapati wang tunai berjumlah RM1,200, gelang, telefon bimbit dan seutas rantai leher emas serta loket hilang," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kerugian itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM3,800.

"Susulan itu usaha mengesan suspek giat dijalankan sebelum dia ditahan dan polis turut merampas rantai leher serta loket daripadanya.

"Hasil ujian saringan air kencing, suspek positif dadah selain mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan dadah dan pecah rumah," katanya.

Mohd Sukri berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Caption

1: Lelaki yang dipercayai terbabit pecah rumah berjaya ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 10:33 AM