BOT nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Rosli Ilham
BOT nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai : Tiga nelayan Vietnam cedera terkena serpihan tembakan selepas cuba menyerang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di kawasan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, kejadian berlaku 5.25 pagi selepas nelayan asing terbabit menyerang anggota Maritim yang menghampiri bot mereka untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, sebelum itu, kapal Maritim KM Satria sedang melakukan rondaan terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.

"Menyedari kehadiran kapal kami, kedua-dua bot terbabit melarikan diri dan kami mengambil masa tiga jam sebelum berjaya memintas bot terbabit

"Ketika menghampiri salah sebuah bot nelayan asing terbabit untuk membuat pemeriksaan, nelayan Vietnam terbabit yang bersenjatakan parang dan objek keras bertindak menyerang anggota kami," katanya pada sidang media di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di Kemaman, semalam.

Katanya, bagi mempertahankan keselamatan nyawa, anggota Maritim melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara, namun mereka masih meneruskan tindakan ganas.

"Dalam situasi tegang itu, anggota tiada pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot itu bagi menghentikan tindakan ganas nelayan terbabit, namun serpihan tembakan terkena dan mencederakan tiga nelayan termasuk tekong bot terbabit.

"Bot serta 19 awak-awak nelayan asing itu ditahan dan ditangkap sekitar jam 8.55 pagi semalam dengan keseluruhan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya.

Amran berkata, tiga nelayan yang cedera itu dibawa menaiki bot KILAT 49 pada 11.45 malam dan tiba di Jeti PPM Kuantan pada 12.15 tengah malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAF, Kuantan, untuk menerima rawatan.

"Bot yang ditahan beserta awak-awak dibawa masuk ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman kira-kira jam 12 tengahari tadi untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas awak-awak kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan Malaysia serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307, Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186, Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 4:09 PM