PEGAWAI APMM, Shakir Zufayri Azizul Rahman yang parah ditetak nelayan Vietnam dikejarkan ke HTAA, Kuantan, Pahang. FOTO Ihsan APMM
PEGAWAI APMM, Shakir Zufayri Azizul Rahman yang parah ditetak nelayan Vietnam dikejarkan ke HTAA, Kuantan, Pahang. FOTO Ihsan APMM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu parah di kepala akibat ditetak nelayan warga Vietnam, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku ketika Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, bersama pasukannya menjalankan operasi di kira-kira 148 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada 11.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairul AnuarAbd Majid berkata, terdahulu, mangsa bersama-sama 18 pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia menahan sebuah bot yang disyaki nelayan asing sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

Namun, katanya, ketika pemeriksaan kesemua kru bot nelayan Vietnam berkenaan bertindak nekad dengan menyerang pegawai dan anggota APMM yang berada di dalam bot.

"Mereka bertindak agresif dengan menyerang dan menetak seorang pegawai penguat kuasa dengan parang ketika pemeriksaan dijalankan.

"Bagaimanapun, anggota lain dapat mengawal keadaan sebelum menahan 16 kru bot terdiri daripada seorang tekong dan 15 awak-awak daripada terus menyerang dan mencederakan pegawai dan anggota lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, dalam pergelutan itu, tekong bot turut cedera di bahagian paha, seorang awak-awak cedera di kepala dan dua cedera akibat terkena tembakan masing-masing di bahagian lengan kiri dan peha kiri serta paha kanan.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang dengan helikopter APMM untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ketika siasatan, kesemua kru bot berkenaan didapati tidak memiliki permit serta lesen yang sah.

"Kesemua kru terbabit ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sebarang pas yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 8:13 PM