Sebahagian yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Sebahagian yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam menangkap ikan secara haram di 28.63 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di sini, petang semalam.

Dua bot itu ditahan APMM Daerah Maritim 7 (DM7), Tanjung Sedili di lokasi berkenaan antara 2.25 petang hingga 3 petang.

Pengarah APMM DM7, Kapten Maritim Amran Daud berkata, bot nelayan asing bernombor pendaftaran KG 93439 TS dan KG 93240 TS itu membawa 19 orang kru termasuk tekong dan awak-awak berusia dalam lingkungan 15 hingga 52 tahun.

"Ketika melakukan rondaan, kita mengesan dua bot nelayan asing dalam keadaan yang mencurigakan sedang menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

"Bot itu didapati membawa muatan kira-kira 10 tan ikan pelbagai jenis serta sotong kering yang dianggarkan seberat 150 kilogram (kg)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, kapal serta hasil tangkapan yang dianggar bernilai kira-kira RM500,000.

Katanya, hasil siasatan mendapati bot nelayan itu tidak memiliki lesen menangkap ikan serta beberapa awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 5:51 PM