GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kumpulan kongsi gelap, Geng 21 Kluang tumpas penahanan 10 ahli kumpulan itu dalam lapan siri serbuan di sekitar negeri ini, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek lelaki berusia 29 hingga 44 tahun itu diberkas di Kluang, Yong Peng dan Johor Bahru bermula 16 Januari.

"Hasil semakan rekod jenayah ke atas suspek mendapati mereka memiliki rekod lampau berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah selain jenayah kekerasan.

"Polis merampas dua lambang Geng 21, 17 telefon bimbit serta dua bilah pisau lipat," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dengan tertangkap ahli kumpulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan termasuk samun berkumpulan dan mendatangkan kecederaan parah.

"Kongsi gelap Geng 21 ini aktif melakukan jenayah pemerasan di tapak projek pembinaan, ugutan jenayah serta mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata di Kluang dari 2019 hingga 2020.

Katanya, lapan daripada suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), manakala seorang suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan dikenakan hukuman denda RM1,500, manakala seorang lagi suspek dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 2:55 PM