Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima 17 laporan polis terhadap  Hizbut Tahrir Malaysia.
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima 17 laporan polis terhadap Hizbut Tahrir Malaysia.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor membuka kertas siasatan terhadap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) selepas menerima 17 laporan polis terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan terperinci akan dilakukan pihaknya susulan doktrin fahaman kumpulan itu, termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.

Bagaimanapun Ayob Khan berkata, setakat ini masih belum ada tindakan atau elemen kekerasan yang dilakukan HTM.

"Namun, jika ada sebarang tindakan kekerasan dilakukan HTM, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan ahlinya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat terhadap pemimpin atau ahli HTM di negeri ini kerana ia masih berada di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri.

"Polis sentiasa memantau pergerakan kumpulan ini dan jika melangkaui garisan keselamatan, polis akan ambil tindakan tegas mengikut SOSMA dengan serta-merta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan pendukung fahaman Hizbut Tahrir berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak 10 Oktober tahun lalu.

Tosrin dilaporkan berkata, atas alasan itu, memorandum yang mahu diserahkan oleh sekumpulan individu mendakwa daripada HTM di Jabatan Mufti Johor, kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu, tidak diterima.

Antara fahaman HTM adalah harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud zina serta menonton video lucah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis Johor menyiasat HTM mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kumpulan HTM dikesan aktif merekrut ahli baharu termasuk daripada golongan berpendidikan seperti pelajar universiti, ahli akademik kanan serta profesional.

"Lebih 80 ahli HTM dikesan bergerak aktif sejak 2005 dan menjadikan markas mereka di Skudai, di sini sebagai pusat penyebaran fahaman berkenaan.

"Sehingga kini, lima negeri, iaitu Johor, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah sudah memfatwakan HTM sebagai bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia turut diharamkan di Turki, Arab Saudi, Pakistan, Indonesia, Syria dan Jordan," katanya.

Sementara itu, tujuh sekeluarga daripada Geng Syed yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak tahun lalu, ditahan polis hasil empat serbuan berasingan sekitar bandar raya dan Iskandar Puteri di sini, pagi semalam

Ayob Khan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 7 pagi itu, tujuh sekeluarga itu membabitkan empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia 35 hingga 64 tahun, ditahan.

"Lima daripada mereka mempunyai pertalian keluarga membabitkan seorang ibu serta dua menantunya," katanya.

"Suspek utama dikenali sebagai Syed yang pernah dipenjara 10 tahun dan dibebaskan pada 2013 atas kesalahan dadah.

"Hasil ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah dan dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan mendapatkan dadah dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Dengan tertangkapnya suspek utama dan anggota Geng Syed ini, polis berjaya merampas 109 kilogram (kg) ganja bernilai RM272,5000, lima kereta bernilai RM269,000 selain tiga motorsikal bernilai RM15,000.

"Selain itu, wang tunai RM23,190 dan SGD 170 (RM517.56) serta pelbagai barangan kemas bernilai RM178,640 turut dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan RM758,840," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.

mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 8:00 AM