GAN (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang dirampas daripada kumpulan kongsi gelap.
GAN (dua dari kiri) menunjukkan senjata yang dirampas daripada kumpulan kongsi gelap.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis memberkas 12 ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 36 yang terbabit pergaduhan bersenjata di Kampung Pisang, Chemor, di sini, ketika sambutan perayaan Deepavali, Sabtu lalu.

Semua suspek yang berusia 21 hingga 36 tahun itu ditahan berperingkat bermula Ahad lalu sehingga kelmarin di sekitar Chemor melalui Op Cantas yang dijalankan susulan kejadian pergaduhan terbabit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee, polis turut merampas 13 senjata tajam pelbagai saiz termasuk parang, kerambit dan pisau pemotong daging selain dua motosikal dipercayai digunakan dalam jenayah kekerasan.

Katanya, sebelum ini pada Sabtu lalu, berlaku pergaduhan membabitkan tujuh mangsa berusia 21 hingga 24 tahun yang lepak di kawasan lapang di Kampung Pisang apabila mereka diserang sekumpulan 20 lelaki.

“Berdasarkan siasatan awal, kumpulan kongsi gelap terbabit dipercayai tidak berpuas hati dan menuduh mangsa masuk ke kawasan mereka dan menyerang mangsa.

“Kumpulan mangsa yang diserang cedera dan mereka dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala semua suspek melarikan diri sebaik polis tiba di lokasi pergaduhan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, susulan kejadian itu, polis melancarkan Op Cantas dan memberkas 12 daripada 20 suspek yang menyerang mangsa serta mengenal pasti ketua kumpulan kongsi gelap terbabit hasil maklumat risikan dan awam.

“Semua 12 suspek yang diberkas direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

“Polis juga mengesan baki lapan lagi suspek termasuk ketua kumpulan yang dipercayai terbabit dalam serangan itu,” katanya.

Gan berkata, pemeriksaan terhadap kumpulan kongsi gelap terbabit mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatangkan cedera parah, menceroboh dan seorang daripada mereka dibuang daerah namun melanggar perintah sekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 9:28 AM