AYOB Ayob Khan. FOTO Aswadi Alias.
AYOB Ayob Khan. FOTO Aswadi Alias.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang lelaki mengaku Datuk Seri ditahan selepas mengugut dua mangsa termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Datuk Seri berusia 56 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berusia 41 tahun, kira-kira jam 8.30 malam, selepas mangsa membuat laporan polis.

"Kes ini bermula Isnin lalu apabila mangsa yang berusia 50-an didatangi dua suspek termasuk Datuk Seri berkenaan.

"Datuk Seri itu kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa membayar sejumlah hutangnya dengan kekerasan sebelum mangsa membuat laporan polis.

"Susulan itu, polis menangkap kedua-dua suspek itu termasuk Datuk Seri berkenaan di sekitar Masai kira-kira jam 8.30 malam, Khamis lalu.

"Ketika ditahan, Datuk Seri itu sekali lagi bertindak menggugut polis bertugas yang berpangkat Inspektor dengan kata-kata 'kalau tuan tangkap saya, saya akan porak perandakan semua balai polis dan hidup tuan'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati suspek berkenaan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf kerajaan.

"Semakan rekod Datuk Seri berkenaan juga mendapati dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar tahun 80-an serta 90-an.

"Datuk Seri berkenaan juga banyak menderma wang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatannya selain mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 1:39 PM