MOHAMMAD Mos berazam mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai rakyat Malaysia terpantas  menyertai cabaran  kayuhan sejauh 510.64 kilometer (km)  dari utara  ke selatan Taiwan dalam tempoh 24 jam  Ahad ini. FOTO IHSAN MOHAMMAD MOS
MOHAMMAD Mos berazam mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai rakyat Malaysia terpantas menyertai cabaran kayuhan sejauh 510.64 kilometer (km) dari utara ke selatan Taiwan dalam tempoh 24 jam Ahad ini. FOTO IHSAN MOHAMMAD MOS
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang peminat berbasikal, Mohammad Mos, 44, berazam mencipta nama di Malaysia Book of Records (MBR) sebagai rakyat Malaysia terpantas menyertai cabaran kayuhan sejauh 510.64 kilometer (km) dari utara ke selatan Taiwan dalam tempoh 24 jam, Ahad ini.

Program anjuran Taipei City Sports Federation Free Car Association itu akan disertai seramai 500 pelumba tempatan dan antarabangsa bermula jam 12 tengah malam, 28 Februari di Rumah Api Fuguicape,Taipei dan berakhir di Rumah Api Eluanbi iaitu titik paling selatan Taiwan.

Mohammad yang meminati aktiviti berbasikal sejak remaja berkata, pihak penganjur memaklumkan dia menjadi satu-satunya peserta Malaysia menyertai cabaran itu selain peserta Amerika Syarikat, Jerman, Itali, Filipina, Thailand dan Indonesia.

Menurutnya, cabaran disertai itu bertujuan menguji ketahanan diri sepanjang menyertai aktiviti berbasikal di samping menambah satu lagi rekod MBR yang pernah dicipta sebelum ini.

Katanya, dia melakukan latihan kayuhan harian sejauh 100 kilometer (KM) sehingga 300 km dengan purata antara 2,000 km ke 3,000 km sebulan

"Latihan berbasikal itu dilakukan termasuk di kawasan pergunungan dan lebuh raya utara selatan di Taiwan".

"Bagi menguji ketahanan mental dan mengawal rasa mengantuk semasa berkayuh, saya turut mengadakan latihan pada sebelah malam sehingga awal pagi," katanya.

Anak kelahiran Sarawak yang juga pegawai undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak berkata, misi dan latihan mengelilingi Taiwan itu turut disertai empat peminat basikal dari Indonesia Cycling Team yang menetap di Taiwan.

Pada Oktober lalu, Mohamad mencipta nama apabila berjaya melakukan Cabaran Kayuhan Gunung Wuling Taroko (3,275 meter) di Taiwan.

Cabaran kayuhan melebihi 200 kilometer (km) itu adalah trek perlumbaan basikal tahunan paling mencabar bagi peserta dunia yang terkenal dengan gelaran Raja Gunung Taroko atau Taroko King of Mountains (Taroko KOM).

Sementara itu, Pengurus Operasi,The Malaysia Book of Records,Edwin Yeoh berkata, pihaknya mengesahkan penyertaan Mohammad dalam cabaran itu dan sekiranya berjaya ia akan direkodkan dalam MBR sebagai rakyat Malaysia terpantas berjaya menamatkan kayuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 5:23 PM