GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini menerima sambutan begitu menggalakkan sejak pendaftaran sesi temu duga terbuka dibuka kepada orang ramai pada 18 Februari lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Perkeso berkata, sehingga 23 Februari 2021, 12,303 peserta sudah membuat pendaftaran awal secara dalam talian.

Katanya, daripada jumlah itu, 3,701 adalah graduan baharu, 5,427 individu tidak bekerja manakala 110 calon daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Majoriti peserta yang mendaftar adalah belia dalam kumpulan umur antara 22 hingga 25 tahun iaitu seramai 4,585 orang.

"Secara keseluruhannya, sesi temu duga terbuka ini disertai oleh 78 majikan daripada pelbagai industri yang menawarkan 10,802 kekosongan jawatan.

"Peluang pekerjaan terbanyak yang ditawarkan adalah sektor pemborongan dan peruncitan dengan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 3,010 jawatan.

"Diikuti oleh sektor pembuatan dengan 2,438 jawatan, sektor perkhidmatan lain (2,286) dan sektor kesihatan awam dan sosial (1,046), manakala peluang pekerjaan yang ditawarkan ini meliputi 3,492 jawatan eksekutif dan 6,910 jawatan bukan eksekutif," katanya.

Selain itu, 1,896 jawatan kosong juga disediakan bagi golongan OKU.

Antara jawatan yang ditawarkan oleh majikan yang menyertai program ini adalah jurutera, pengurus jualan, peguam, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, pembantu audit dan tukang masak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 11:13 AM