Balqis Jazimah Zahari


SERAMAI 64,495 individu hilang pekerjaan sejak 1 Januari hingga 15 Julai lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan berkata, statistik oleh Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kira-kira 55,000 yang dinyatakan pelbagai agensi pekerjaan.

Katanya, susulan itu pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan termasuk memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (Penjana Kerjaya).

"Sejak Penjana Kerjaya bermula 15 Jun sehingga sehingga 23 Julai lalu, seramai 16,198 majikan sudah membuat pendaftaran menerusi insentif pengambilan pekerja.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,240 majikan sudah mengambil 6,928 pekerja.

"Pada masa sama, kita tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Perkeso Perak 2020 di Dewan Merdeka Tapah di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, Tapah menjadi lokasi pertama pelaksanaan program Karnival Penjana Kerjaya Perkeso dan akan dikembangkan di seluruh negara.

"Lebih 7,000 kekosongan jawatan dan lebih 20 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka hari ini.

"Program selepas ini akan dikembangkan di Ipoh, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 5:49 PM