M Hifzuddin Ikhsan

Yan: Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas ke atas sekurang-kurangnya tiga syarikat yang dikesan beroperasi secara haram di bekas tapak kilang Perwaja Stell di Gurun, sejak lebih setahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pihaknya maklum mengenai kegiatan dilakukan tiga syarikat tempatan terbabit dan sedang mengkaji tindakan mengikut undang-undang ke atas pemiliknya.

Katanya, syarikat terbabit dipercayai mengambil peluang kedudukan bekas tapak kilang seluas lebih 200 hektar yang agak tersorok bagi melakukan kegiatan peleburan dan pengeluaran produk berasaskan logam.

"Perkara ini sudah dibawa ke Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) dan kita sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menyiasat kewujudan operasi kilang haram berkenaan.

"Setakat ini, kita percaya syarikat terbabit tidak mempunyai lesen pengeluaran ditetapkan selain mereka turut tidak membayar cukai tanah ditetapkan kepada MPSPK," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Komputer Riba Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak di sini, hari ini.

KU Abd Rahman (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar sekolah yang menerima komputer riba pada Majlis Penyampaian Komputer Riba DUN Guar Cempedak di Dewan Masjid Badlishah. FOTO Amran Hamid
KU Abd Rahman (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelajar sekolah yang menerima komputer riba pada Majlis Penyampaian Komputer Riba DUN Guar Cempedak di Dewan Masjid Badlishah. FOTO Amran Hamid

Baru-baru ini, tular video mengenai dakwaan terdapat kilang kitar semula beroperasi secara haram di bekas tapak kilang besi Perwaja Stell yang menyebabkan pencemaran dan bau busuk sehingga menyebabkan bantahan dalam kalangan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Ku Abd Rahman berkata, antara tindakan boleh diambil ke atas tiga syarikat terbabit adalah menyita operasinya selain kerajaan negeri turut boleh merampas seluruh tapak bekas kilang besi berkenaan kerana gagal membayar cukai tanah.

"Sehingga kini, saya boleh sahkan tiga syarikat terbabit memang tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi mendapatkan lesen kebenaran beroperasi daripada MPSPK.

"Selain itu, kita turut bekerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah bagi memastikan berlaku pencemaran seperti didakwa penduduk sekitar," katanya.

Sementara itu, seramai 10 keluarga miskin sekitar DUN Guar Chempedak menerima sumbangan komputer riba bagi digunakan sepanjang tempoh perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ku Abd Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak memaklumkan, pelajar terbabit akan berkongsi menggunakan komputer riba berkenaan bersama ahli keluarga lain yang turut perlu belajar secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:01 PM