Aizat Sharif


SEBANYAK 6.3 tan daun ketum bernilai hampir RM1 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis bulan lalu.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, rampasan dilaksanakan anggota PGA Batalion 1 Hulu Kinta, Perak bermula 27 Ogos lalu hingga hari ini.

“Penugasan pasukan ini membabitkan 20 pos kawalan dengan jarak 140 kilometer dari Kuala Perlis hingga Bukit Kayu Hitam dan sepanjang tempoh ini juga, kita merekodkan 18 kes penyeludupan membabitkan ketum dan migran di mana penyeludupan ketum menjadi kes utama yang sering dibanteras.

“Selain itu, pada jam 3.04 pagi pada 8 September, kita turut berjaya menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berusia antara dua hingga 45 tahun yang cuba menyusup keluar dari negara ini di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya PATI berkenaan sudah hampir setahun berada di negara ini dan mengambil keputusan kembali semula ke negara mereka menggunakan laluan ‘tikus’ yang terdapat di sempadan Malaysia-Thailand di mana apabila mereka lolos ke negara jiran, mereka akan diambil anggota sindiket untuk keluar dari Thailand pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Markas Taktikal (MARTAK) PGA di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Katanya, dalam penugasan itu juga, anggota PGA bertugas berjaya merampas tujuh kenderaan bernilai RM69,000 membabitkan empat motosikal dipercayai digunakan ahli sindiket untuk menyeludup ketum di sempadan.

“Rampasan daun ketum dilihat yang besar ini disebabkan permintaan tinggi dari Thailand terhadap daun ini dan ahli sindiket dilihat tidak takut serta sanggup menggadaikan nyawa.

“Malah, kebanyakan rampasan dilakukan pada waktu malam kerana anggota sindiket menyangka kita tidak begitu mengetatkan kawalan di sempadan menjelang waktu itu,” katanya.

Keseluruhan nilai rampasan membabitkan daun ketum dan kenderaan bagi September dianggarkan berjumlah RM1.02 juta.

Sementara itu, PGA Batalion 18 Briged Utara dari Hulu Kinta akan mengambil alih penugasan di kawasan ini bermula hari ini untuk tempoh sebulan bagi memastikan sebarang perlakuan jenayah rentas sempadan di Kedah dan Perlis dapat dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 4:01 PM
MOHAMED Rafiq menunjukkan gambar kejayaan Batalion 1 PGA Ulu Kinta sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis. FOTO Shahrizal Md Noor
MOHAMED Rafiq menunjukkan gambar kejayaan Batalion 1 PGA Ulu Kinta sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis. FOTO Shahrizal Md Noor