Lelaki yang ditahan dan ketum dirampas PGA di kawasan FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar hari ini. Foto Ihsan PGA
Lelaki yang ditahan dan ketum dirampas PGA di kawasan FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar hari ini. Foto Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion Utara berjaya merampas satu tan daun ketum bernilai RM147,000 dalam dua serbuan berasingan di Padang Besar hari ini.

Komander Briged Utara PGA Hulu Kinta Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan dalam Op Wawasan Kedah/Perlis itu.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 1.30 pagi di sebuah pondok berhampiran ladang getah di FELDA Mata Ayer berjaya merampas 510 kilogram daun ketum yang dimuatkan dalam 14 guni.

“Bagaimanapun, pondok berkenaan tidak berpenghuni dan dipercayai ditinggalkan penyeludup bagi tujuan transit sebelum kesemua ketum diseludup ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya, selepas itu pihaknya yang melakukan rondaan di FELCRA Lubuk Sireh pada 9.30 pagi sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pihaknya kemudiannya menahan kereta terbabit dan melakukan pemeriksaan sebelum menemui 510 kilogram daun ketum yang dimuatkan dalam 17 guni diletakkan di bahagian penumpang.

Abdul Ghani berkata, kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan SUV dan 1.02 tan daun ketum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 9:56 PM