SERAMAI 21 individu termasuk 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika cuba melalui jalan tikus di Jalan Lama Kota Kinabalu - Beluran, semalam. FOTO IHSAN IPD BELURAN
SERAMAI 21 individu termasuk 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika cuba melalui jalan tikus di Jalan Lama Kota Kinabalu - Beluran, semalam. FOTO IHSAN IPD BELURAN
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Bergerak ketika waktu Subuh antara modus operandi terkini digunakan tekong darat untuk mengelakkan aktiviti menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) dari satu lokasi ke lokasi lain dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik ampuh mereka itu berjaya dihidu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berjaya menahan 21 individu termasuk tekong darat di Jalan Lama Kota Kinabalu ke Beluran, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, semua ditahan berusia antara tiga hingga 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati tekong darat terbabit mendakwa memindahkan semua Pati itu dari sebuah ladang sawit di Telupid ke sebuah lagi ladang di Kinabatangan yang dimiliki syarikat sama.

"Pemeriksaan mendapati, 16 daripada mereka dipercayai warga Indonesia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan manakala empat rakyat tempatan (tekong darat) dan seorang warga Indonesia mempunyai dokumen sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, pihak berkuasa turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk aktiviti itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 2:51 PM