KEADAAN banjir di daerah berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN banjir di daerah berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Bencana banjir di Sabah merekodkan satu lagi kes kematian selepas seorang warga emas maut dalam kejadian lemas di Sungai Lininkung, Telupid.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pada kejadian kira-kira 9 pagi semalam, petani berusia 60 tahun dilaporkan cuba menyeberangi sungai terbabit.

Menurutnya, mangsa cuba menuju ke rumahnya yang hampir ditenggelami air sebelum dihanyutkan arus deras.

"Beberapa penduduk kampung kemudiannya menemui lelaki terbabit yang tidak sedarkan diri tidak jauh dari lokasi.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, dua kes direkodkan di daerah sama, iaitu di Paitan, dalam dua kejadian berasingan pada Jumaat.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki berusia 28 tahun yang sedang memasang pukat ketika banjir dan hujan lebat dilaporkan hilang di Kuala Penubukan.

Mayat mangsa kemudiannya ditemukan pada keesokan harinya.

Kes kedua pula membabitkan pekerja ladang lelaki berusia 26 tahun, yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan di Kampung Kinadaan.

Lelaki berkenaan belum ditemukan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:10 AM