GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Polis berjaya memujuk sebelum menahan seorang lelaki yang berbogel dan mengamuk menggunakan sebilah parang di tepi jalan berhampiran Rumah Hijau, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian jam 6.54 petang itu, suspek berusia 43 tahun berasal Kampung Baru, Sungai Tinggi, Trong dilaporkan bertindak sedemikian tanpa diketahui sebabnya.

Menurutnya, selepas menerima laporan kejadian anggota bertugas segera ke lokasi bagi menahannya.

"Dalam kejadian itu suspek yang tidak berpakaian kelihatan memegang sesuatu yang dibaluti kain di tangannya.

"Ketika anggota cuba memujuknya untuk memakai seluar, suspek bertindak membuka balutan kain di tangannya dan menunjukkan sebilah parang panjang.

"Bagaimanapun selepas hampir 15 minit, suspek berjaya dipujuk dan ditahan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan dan tindakan suspek itu dikatakan akibat tidak mengambil ubat penenang.

"Tiada sebarang kecederaan pada orang awam atau anggota dan suspek kini ditempatkan di Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:25 PM