MANGSA menerima beberapa jahitan di belakang kepala dan telinga (gambar kanan) selepas dikelar anak sendiri.
MANGSA menerima beberapa jahitan di belakang kepala dan telinga (gambar kanan) selepas dikelar anak sendiri.
Hadzlihady Hassan


“HANG pasai apa?”. Itu jeritan sempat didengar seorang wanita selepas suaminya dikelar dengan pisau oleh anak mereka ketika berada di rumah di Sungai Chenaam, Nibong Tebal, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa berusia 48 tahun terpaksa menerima 10 jahitan di belakang leher dan luka di telinga.

Ketika kejadian, mangsa sedang makan di dapur sebelum didatangi anak lelakinya berusia 22 tahun yang kemudian terus mengelar belakang leher bapanya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga anak kedua daripada lima beradik itu dikatakan mendengar bisikan yang membuatkan dia menjadi marah ketika berada di dalam bilik tidurnya.

“Suspek yang tidak bekerja itu kemudian keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke dapur sebelum dia mendakwa mendengar satu lagi bisikan.

“Dia kemudian terus mengambil pisau dan mengelar belakang leher bapanya yang ketika itu sedang makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafee berkata, lelaki terbabit sempat menjerit kepada anaknya dengan bertanya kenapa dia melakukan perbuatan itu (kelar) dan jeritan itu didengari isteri yang kemudian terus menuju ke dapur.

“Si isteri terkejut selepas melihat suaminya berlumuran darah sebelum meminta anak sulung mereka membawa lelaki terbabit ke Hospital Parit Buntar.

“Mangsa terpaksa menerima 10 jahitan dan dia kemudian dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, polis sudah menahan suspek dan pemeriksaan mendapati dia kerap mengalami gangguan halusinasi selain pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam pada 2014 dan diberikan ubat penenang oleh doktor.

“Bagaimanapun, dia dikatakan berhenti daripada menerima rawatan kerana masih tidak berubah walaupun diberikan ubat penenang.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis merampas sebilah pisau berhulu hitam sepanjang 11 inci (25.4 sentimeter),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 2:07 AM