NASIR (tengah) bersama Pegawai menunjukkan peralatan yang dirampas dari tiga suspek yang melakulan jenayah curi kabel TM. FOTO Shaiful Sharin Ahmad Pauzi
NASIR (tengah) bersama Pegawai menunjukkan peralatan yang dirampas dari tiga suspek yang melakulan jenayah curi kabel TM. FOTO Shaiful Sharin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Tertarik dengan harga kabel telekomunikasi mencecah RM50,000 segulung, tiga sekawan yang sedang leka mencuri kabel ditahan polis dalam serbuan di Padang Gajah, Trong, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 27 tahun ditahan ketika membuka lubang utama kabel kira-kira 12.20 tengah malam.

"Pemeriksaan mendapati mereka ini baru berjinak-jinak dalam kegiatan mencuri kabel. Turut ditemukan besi T iaitu pembuka lubang, kuku kambing, tukul besi, pemotong besi dan pemutar skru.

"Modus operandi mereka adalah menyasarkan kabel bawah tanah, memotong lalu menariknya dengan kenderaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, hari ini.

Katanya, sebuah kereta milik seorang suspek turut dirampas dan nilai kabel yang dicuri dianggarkan sekitar RM20,000.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang melakukan kegiatan samun stesen minyak dan ragut pada hari sama.

Menurutnya, penahanan suspek membawa kepada penyelesaian tujuh kes membabitkan tiga kes samun stesen minyak di Simpang dan empat kes ragut yang berlaku di Taiping, Simpang dan Pokok Assam.

"Suspek yang juga penagih dadah tegar melakukan kegiatan ini secara solo dan menyasarkan wanita berusia 40 hingga 60-an untuk meragut.

"Hasil pemeriksaan polis menemukan sebilah pisau, sebilah kerambit, dua telefon bimbit, topi keledar dan sebuah motosikal," katanya.

Katanya, keempat-empat suspek berkenaan direman sehingga 24 Januari ini bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 5:34 PM