FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SUDAHLAH mencuri, ugut polis pula dengan parang.

Begitu tindakan agresif seorang lelaki apabila mengacu dan melibas parang kepada anggota polis yang mahu menahannya selepas disyaki mencuri pisang di Manir, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, polis yang menerima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyerbu kediaman lelaki itu kerana dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri pisang.

Sumber berkata, sejurus memperkenalkan diri kepada suspek yang berdiri di hadapan pintu dapur rumah, anggota terbabit meminta kebenaran melakukan pemeriksaan badan terhadapnya.

“Bagaimanapun, suspek yang dipercayai panik mencapai sebilah parang yang diselitkan di belakangnya sebelum mengugut ‘aku parang gok mu ni’.

“Suspek semakin agresif apabila mengangkat dan cuba menghayun senjata tajam itu ke arah anggota terbabit sehingga mereka terpaksa berundur sebelum mengeluarkan arahan supaya suspek memberi kerjasama,” katanya.

Sumber berkata, suspek bukan sahaja enggan mendengar arahan untuk memberi kerjasama, malah ‘naik hantu’ apabila bertindak melibas parang di tangannya secara rambang bagi mengelak didekati polis.

“Sambil melibas parang untuk menakutkan anggota polis, suspek turut mengugut dengan berkata ‘mu masuk, aku parang mu’,” katanya.

Sumber berkata, bimbang kejadian tidak dingini, anggota berkenaan pulang ke balai sebelum membuat laporan untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan dan direman empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:16 PM