RESTORAN milik Azizan yang disimbah cat merah dan nota mencari bekas pekerjanya. FOTO AZIZAN INCHE HARUN
RESTORAN milik Azizan yang disimbah cat merah dan nota mencari bekas pekerjanya. FOTO AZIZAN INCHE HARUN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sudahlah berhenti kerja tanpa notis, seorang pekerja turut meminjam wang daripada ceti haram atau along sehingga menyebabkan restoran bekas majikan disimbah cat merah, semalam.

Itu nasib terpaksa dihadapi pemilik restoran masakan panas di Pusat Perniagaan Sri Saujana, di sini, Azizan Inche Harun, 38, apabila bekas pekerjanya masih meminjam wang menggunakan maklumat restorannya biarpun berhenti kerja sejak 15 Disember tahun lalu.

Katanya, tindakan pemuda berusia 26 tahun itu menyusahkan perniagaan diusahakan selama 10 tahun berikutan ugutan along yang mahu membakar restoran sekiranya tidak membayar RM5,000.

"Pekerja itu bekerja sebagai pelayan restoran selama dua bulan sebelum balik ke kampung di Bachok, Kelantan. Semasa bekerja saya tahu dia pinjam along kerana terdesak, bila dia sudah berhenti kerja, duit gaji terakhir itu saya selesaikan hutang along sebanyak RM1,000.

"Saya ingatkan satu atau dua along saja yang dia pinjam. Tetapi semalam, apabila restoran saya kena simbah cat merah oleh tiga lelaki dan ditampal notis mencari Nabil, baru saya tahu dia ada pinjam daripada lima lagi along selepas berhenti kerja.

"Nabil sekarang berada di kampungnya di Bachok. Saya minta along supaya cari Nabil di kampung sebab dia yang pinjam, bukan saya.

"Alamat dalam kad pengenalan pun along ada pegang, tetapi tetap ugut mahu bakar restoran saya sekiranya tidak bayar hutang Nabil sebanyak RM5,000," katanya ketika ditemui di Pejabat Aduan MCA di sini, hari ini.

Azizan berkata, dia kini takut untuk berniaga berikutan bimbang dengan keselamatan anak kecilnya serta pekerja lain.

Menurutnya, dia membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya berhubung kejadian itu, malam tadi.

"Saya difahamkan pinjaman dibuat sekitar RM500 hingga RM5,000 bagi setiap along. Semasa pinjam, along pun tidak ada datang atau telefon buat pengesahan bahawa Nabil adalah pekerja saya atau tidak.

"Dia ambil alamat dan gambar restoran sebelum memberikannya kepada along bagi menyatakan dia masih bekerja di sini.

"Sejujurnya saya rasa sangat tertekan kerana dengan keadaan sekarang, perniagaan kurang sambutan ditambah dengan masalah along yang saya tidak pinjam pun wang mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, masalah dihadapi majikan itu adalah serius dan polis perlu membuat rondaan lebih kerap di kawasan restoran terbabit.

"Kes along memang sudah jadi serius serta bahaya kerana kebanyakan orang hilang kerja akan mencari along untuk meminjam duit.

"Along ini sepatutnya perlu menyiasat maklumat diberikan peminjam, sebelum memberi pinjam duit. Along sudah diperdaya bekas pekerja. Mereka perlu cari individu yang meminjam dan bukan sesuka hati menyimbah cat merah dan ugut mahu membakar restoran.

"Majikan ini sangat tertekan, saya percaya polis akan menyiasat kes ini. Polis sudah banyak menumpaskan sindiket along," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:06 PM