ANG (duduk kanan) bersama Michael (duduk tengah) menunjukkan gambar rumahnya yang disimbah cat merah oleh along. FOTO NSTP
ANG (duduk kanan) bersama Michael (duduk tengah) menunjukkan gambar rumahnya yang disimbah cat merah oleh along. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pinjam RM3,000 tapi diminta bayar RM60,000 dengan rumah turut disimbah dengan cat merah.

Itu nasib menimpa seorang peniaga wanita yang mahu melangsaikan hutang anak lelakinya daripada ceti haram atau along.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ang, 49, berkata, anak sulungnya berusia 28 tahun itu ada meminjam wang RM3,000 daripada kenalannya, tujuh tahun lalu.

"Menurut anak, dia meminjam wang daripada lelaki berusia 35 tahun itu yang dikenalinya semasa bekerja di pasar borong.

"Anak meminjam wang itu bagi menampung kehidupannya sebelum dia pergi ke Dubai untuk bekerja di sana sejak enam tahun lalu, namun sehingga kini saya tidak tahu dia bekerja sebagai apa.

"Apabila anak memaklumkan mahu membayar pinjaman itu sebanyak RM10,000, lelaki terbabit tidak bersetuju dan meminta RM60,000," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Ang berkata, along terbabit beberapa kali mengupah orang untuk menyimbah cat merah di rumahnya di Batu Caves, Selayang, sejak September lalu.

"Saya rasa tidak masuk akal untuk membayar RM60,000 sedangkan wang yang dipinjam hanya RM3,000. Malah, anak sudah setuju untuk membayar RM10,000 iaitu lebih tiga kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

"Apabila kami enggan membayar jumlah yang dimintanya, mereka bertindak menyimbah cat merah di rumah kami sebanyak empat kali.

"Kali pertama rumah kami disimbah cat adalah pada 19 September lalu, manakala insiden terakhir pada 4 Oktober lalu," katanya.

Menurutnya, along berkenaan juga ada mencabarnya supaya membuat laporan polis berkaitan kes terbabit.

"Saya sudah membuat lima laporan di Balai Polis Selayang dan tidak ada sebarang tindakan diambil dan perkara ini masih berlanjutan.

"Masalah ini menyebabkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan dan diharap ia dapat diselesaikan dengan segera kerana kami tidak lagi mahu diganggu dengan along berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima sebanyak 269 kes membabitkan kerugian berjumlah RM28 juta bagi tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pinjaman dengan agensi sah bagi mengelakkan menjadi mangsa pemerasan oleh along," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 5:19 PM