FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Disebabkan kehilangan pekerjaan, ada yang terpaksa meminjam wang daripada pemberi pinjam wang haram atau along untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun pinjaman dibuat membabitkan jumlah yang kecil, perbuatan itu ibarat mengundang musibah apabila mereka terjerat dengan kerakusan lintah darat itu.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, setakat ini beliau menerima aduan daripada lebih 10 individu selepas terjerat dengan bayaran bunga yang terlalu tinggi.

Katanya, individu terbabit hanya meminjam dalam jumlah RM1,000 hingga RM2,000, namun, disebabkan kadar bunga atau faedah yang tinggi, mereka terpaksa membayar dua kali ganda malah lebih.

"Jumlah yang dipinjam tidak besar, tetapi boleh jadi besar selepas dikira dengan kadar faedah yang terlalu tinggi sehingga ada yang mengadu tidak mampu melunaskan hutang mereka yang semakin berganda.

"Biasanya mereka meminjam kerana mahu membuat persiapan raya, beli baju anak-anak dan hantar kepada keluarga di kampung," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Michael Tay, sejak awal tahun ini, hampir 50 peminjam ceti haram membuat aduan kepadanya kerana tidak mampu membayar kadar bunga yang tinggi.

Katanya, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes mangsa along, terdapat tiga kategori kategori along.

"Kategori along yang ganas akan bertindak melemparkan cat merah, membuat ugutan, serta tidak teragak-agak untuk bakar kenderaan atau rumah.

"Bagi along kategori sederhana, mereka menggunakan tekanan dari segi kadar faedah yang tinggi. Manakala ada along yang berhemah dan boleh bertolak ansur dari segi tempoh pembayaran.

"Namun, apa pun kategori along, elakkan meminjam wang dari mereka dalam apa juga keadaan kerana hidup akan menjadi sengsara dan tidak tenteram apabila termasuk dalam jerat along," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 1:26 PM