TIGA rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup dadah di dalam penapis air dalam Operasi Bersepadu Icarus AFP, Polis Victoria dan ABF. FOTO Ihsan Australian Border Force
TIGA rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup dadah di dalam penapis air dalam Operasi Bersepadu Icarus AFP, Polis Victoria dan ABF. FOTO Ihsan Australian Border Force
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Tiga rakyat Malaysia didakwa di mahkamah Australia selepas pihak berkuasa negara itu mematahkan cubaan menyeludup lapan kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di dalam penapis air ke Melbourne, tahun lalu.

Dua suspek berusia 29 tahun dan 26 tahun ditahan susulan serbuan di beberapa lokasi di Docklands dan Melbourne antara 20 Januari sehingga Rabu lalu.

Kejayaan itu hasil Operasi Bersepadu Icarus oleh pasukan Polis Persekutuan Australia (AFP), polis Victoria dan Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Menerusi operasi bermula Oktober tahun lalu, pihak berkuasa Australia sebelum itu menahan seorang rakyat Malaysia berusia 27 tahun atas kesalahan sama.

ABF dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pihak polis turut berjaya merampas 19 kg bahan 1,4-Butanediol, 22 kg methamphetamine serta 20 kg methyl alpha-phenylacetoacetate (bahan prekursor untuk amphetamine dan methamphetamine).

Rampasan lain termasuk wang tunai berjumlah AUD147,000 (RM459,363), tujuh telefon bimbit dan sejumlah kad SIM.

"Suspek berusia 29 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne pada 21 Januari lalu mengikut Akta Dadah, Racun dan Bahan Terkawal 1981 (Vic) atas cubaan membawa masuk secara haram bahan 1,4-Butanediol.

"Dia juga didakwa mengikut Kanun Jenayah Komanwel kerana cuba menyeludup dan memiliki secara haram dadah kawalan jenis methamphetamine dan sebutan semula kes akan dibuat pada 12 Mei ini," katanya.

Sementara itu, kenyataan berkenaan memakluymkan suspek berusia 26 tahun didakwa di mahkamah sama, kelmarin dan sebutan semula kes akan dibuat pada 27 Mei ini.

"Tertuduh didakwa mengikut Kanun Jenayah Komanwel dan dia juga enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengakses telefon bimbitnya.

"Sekiranya didapati bersalah, kedua-dua tertuduh terbabit berhadapan hukuman maksimum penjara selama 25 tahun yang diperuntukkan Kanun Jenayah Komanwel," katanya.

Katanya, terdahulu individu pertama yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne pada 26 Oktober lalu di mana permohonan ikat jamin ke atasnya ditolak dan kes akan disebut semula pada 22 Mac ini.

"AFP bersama polis Victoria dan ABF memulakan siasatan selepas pegawai ABF mengesan kiriman barangan mencurigakan terdiri daripada penapis air yang dihantar dari Vancouver, Kanada ke Melbourne, Australia pada 27 September tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 4:53 PM