Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kebenaran operasi pasar malam yang berkuat kuasa hari ini, memberikan kelegaan kepada golongan peniaga yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, dilaksanakan 13 Januari lalu.

Peniaga buah-buahan, Farah Dilla Denny, 21, berkata, keputusan kerajaan membenarkan mereka berniaga semula amat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya bersyukur kerajaan memberi peluang kami berniaga semula kerana pendapatan harian kami banyak bergantung kepada perniagaan pasar malam.

"Jika tidak dapat berniaga, tiadalah pendapatan kami," katanya yang berniaga di Pasar Malam Jelatek.

Bagi peniaga air balang di Pasar Malam Bandar Seri Putra, Bangi, Rafiuddin Anuar, 31, pula dia tidak berlengah membuat persiapan berniaga sebaik dimaklumkan boleh beroperasi semula petang semalam.

"Memang sejak PKP 2.0 dilaksanakan lagi saya tidak berniaga, jadi sebaik dimaklumkan pihak pengurusan semalam, saya tidak membuang masa lagi dalam persiapan untuk turun berniaga hari ini.

"Kebenaran ini amat bermakna kepada saya kerana dapat juga saya menampung belanja keperluan keluarga termasuk membeli susu anak selepas hampir empat minggu tiada pendapatan," katanya.

Peniaga ikan, Muhammad Arief Darmawan, 29, berkata, apabila pasar malam tidak dibenarkan beroperasi, dia terpaksa mencari alternatif menjalankan perniagaan dalam talian.

"Walaupun pendapatannya tidak sebanyak seperti berniaga di pasar malam, namun lepas juga makan minum kami tiga beranak.

"Dengan kebenaran kerajaan itu, saya lega walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, kami akan patuh asalkan diberi peluang niaga macam dulu.

"Saya harap sangat pembukaan pasar malam ini dapat mengembalikan semula pendapatan saya untuk menampung sara hidup dan membayar komitmen bulanan," katanya.

ANGGOTA Rela membuat pemeriksaan pematuhan SOP di kawasan Pasar Malam Taman Melati, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA Rela membuat pemeriksaan pematuhan SOP di kawasan Pasar Malam Taman Melati, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Abd Hadi Mustafa, 56, yang berniaga mi rebus dan nasi tomato sejak 30 tahun lalu berkata, dia berharap kebenaran tempoh operasi sehingga 10 malam itu dapat menarik semula kehadiran pelanggan seperti sebelum pelaksanaan PKP.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kelonggaran kami berniaga semula.

"Walaupun tidak dapat mengembalikan 100 peratus pendapatan kami seperti dulu, namun kebenaran ini memberi nafas lega kepada kami.

"Cuma, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan SOP makan duduk satu meja dua orang kerana ia banyak membantu kami meraih kehadiran ramai memandangkan selalunya pelanggan akan membeli makanan panas dan duduk makan di meja disediakan berhampiran," katanya yang berniaga di Pasar Malam Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Semalam, kerajaan mengumumkan kebenaran operasi pasar malam membabitkan perniagaan jenis barangan basah dan makanan bermula jam 4 petang hingga 10 malam dengan SOP ketat antaranya kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan jarak antara kedai mengikut kapasiti dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 8:32 PM