Yusmizal Dolah Aling


PENIAGA di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka beroperasi semula.

Rata-rata mereka bersemangat untuk memulakan perniagaan selepas berehat panjang sepanjang penutupan operasi akibat penularan wabak Covid-19.

Seorang peniaga yang ditemui Mad Husain Mohamed, 43, berkata, biarpun jumlah pelanggan berkurangan dan tidak sama seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dia tetap bersyukur kerana dapat berniaga.

Katanya, jika sebelum ini dia menjual sebanyak 300 ekor ayam sehari, namun jangkaan jualan akan berkurangan disebabkan kekurangan pelanggan.

"Macam hari ini pun masih ramai peniaga yang tidak buka kedai, ada beberapa saja.

"Kami juga tidak boleh menyimpan stok di sini, perlu kemas dan pastikan semuanya bersih," katanya yang sudah berniaga di situ lebih 20 tahun lalu.

Bagi peniaga barangan runcit, Lee, 36, dia banyak bergantung kepada pelanggan tetap yang ingin mendapatkan bekalan perniagaan berbanding pelanggan harian.

"Sebelum ini ketika PKP, saya jual barangan yang dipesan, dibungkus di stor. Setakat ini belum ada pelanggan yang datang beli barang, cuma pelanggan tetap saja," katanya.

Menurutnya, dia menghadapi kesukaran kerana pekerja warga asing yang membantunya sebelum ini tidak lagi dibenarkan bekerja di situ.

"Saya mohon DBKL beri kebenaran kepada pekerja asing, mereka ini bekerja, bukan berniaga," katanya.

Peniaga santan, Wasri Satwi, 46, berkata, selain kekurangan pelanggan, peniaga juga bimbang berikutan tempoh berniaga yang dihadkan dalam tempoh tertentu saja.

Katanya, sebelum ini dia memproses 500 biji kelapa termasuk yang ditempah lebih awal.

"Hari ini, saya rasa mungkin tak sampai seratus biji. Kedudukan kedai saya pula di hujung, pelanggan masuk beli barang, tak sempat sampai sini, masa sudah habis.

"Kalau begini keadaannya, saya terpaksa pertimbang semula untuk berniaga atau tutup dahulu," katanya.

Pemerhatian wartawan mendapati, petugas DBKL bersama polis dan Rela mengawasi kawasan pasar berkenaan, manakala ruangan sayur serta buah-buahan masih belum beroperasi.

Semalam Harian Metro melaporkan Pasar Raja Bot dibenarkan beroperasi semula bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pasar berkenaan akan beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Khamis untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menyahkuman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KEADAAN pasar Chow Kit yang lengang walaupun peniaga mula dibenarkan beroperasi semula bermula 6 pagi hingga 2 petang selepas ditutup pada 28 April lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menyahkuman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
KEADAAN pasar Chow Kit yang lengang walaupun peniaga mula dibenarkan beroperasi semula bermula 6 pagi hingga 2 petang selepas ditutup pada 28 April lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menyahkuman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:01 PM