PENIAGA pasar malam Ampangan, Zaheeda Basir. FOTO Mohd Amin Jalil
PENIAGA pasar malam Ampangan, Zaheeda Basir. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ternyata memberi kesan mendalam buat penjaja dan peniaga pasar malam di daerah ini, yang kini berdepan kesukaran meneruskan kelangsungan hidup.

Larangan berniaga di pasar malam menyebabkan sebahagian besar daripada peniaga terbabit kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa menghabiskan wang simpanan.

Pengerusi Persatuan Gerak Bumi Niaga Seremban, Mohd Hanip Mohd Din berkata, kira-kira 2,000 peniaga dan penjaja di sekitar daerah ini terjejas.

"Kebanyakan mereka hanya bergantung kepada pendapatan sebagai peniaga pasar malam dan tidak mempunyai perkerjaan lain. Ramai peniaga pasar malam kini tertekan kerana beban kewangan yang mereka tanggung termasuk bayaran sewa rumah, pinjaman kenderaan dan pelbagai keperluan lain.

"Ada kalangan peniaga yang mempunyai pekerja antara satu hingga tiga orang tetapi kini pekerja terbabit juga hilang pendapatan," katanya.

Beliau ditemui selepas bersama Persatuan Amal dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan (Al-Baasith NS) menyampaikan bantuan barangan keperluan asas secara pandu lalu kepada 100 peniaga pasar malam, di Taman Ampangan, di sini, hari ini.

Mohd Hanip berkata, pihaknya memohon supaya kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula walaupun dalam tempoh masa terhad contohnya hanya dalam masa empat jam.

Menurutnya, mereka akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya dibenarkan beroperasi kelak.

"Peniaga minta buka semula pasar malam. Kita akan ikut SOP yang kerajaan tetapkan, janji kami boleh beroperasi semula," katanya.

Peniaga pasar malam Ampangan, Zaheeda Basir, 37, berkata penutupan pasar malam dalam tempoh PKP 3.0 memang sangat memberi kesan kepada pendapatannya.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia baharu mula hendak bangkit selepas PKP yang pertama, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila PKP berlanjutan.

"Bila kena PKP kali kedua dan seterusnya ketiga, terus tak boleh berniaga, duit simpanan pun lama kelamaan habis sebab hendak tampung perbelanjaan keluarga," katanya yang menjual aksesori kasut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:30 PM