Aizat Sharif

Arau: Selepas hampir dua tahun ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19, pasar pagi pokok getah atau Nat Pokok Getah, Pauh di sini, yang menjadi tarikan pelancong di Perlis akhirnya dibuka semula bermula hari ini.

Pasar yang beroperasi di ladang getah di Jalan Arau-Pauh sejak bertahun lamanya itu kembali dikunjungi oleh orang ramai dari dalam dan luar Perlis seleps kebenaran berniaga semula di lokasi berkenaan diberikan oleh kerajaan negeri pada awal bulan ini.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati kebanyakan peniaga yang kembali menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan adalah peniaga asal yang sudah berniaga di tempat berkenaan sebelum ia ditutup sekitar Mac 2020 selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan berikutan penularan jangkitan wabak pandemik Covid-19 di negara ini.

SUASANA perniagaan di Nat Pokok Getah, Arau. FOTO Aizat Sharif
SUASANA perniagaan di Nat Pokok Getah, Arau. FOTO Aizat Sharif

Selain makanan basah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan, terdapat juga peniaga yang menjual pakaian, permainan kanak-kanak, herba, makanan dan minuman serta tidak kurang juga yang memperdagangkan barangan terpakai seperti radio lama, kaset, kipas angin dan alat pertukangan tangan yang sekali gus merancakkan lagi suasana perniagaan di dalam ladang getah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Perlis Azizan Sulaiman berkata, terdapat 235 orang peniaga yang ditempatkan di setiap lot yang sudah ditetapkan dalam ladang getah berkenaan.

"Daripada pihak pengurusan Nat Pokok Getah ini, saya difahamkan hampir 500 peniaga sebenarnya sudah pun menyatakan keinginan semula mereka berniaga di lokasi berkenaan kerana kebanyakan peniaga yang berniaga di pasar ini adalah 'orang lama' yang sudah bertahun berniaga di sini.

"Walaupun begitu dalam keghairahan peniaga menjalankan perniagaan di sini di samping kedatangan pengunjung semula di pasar ini, prosedur operasi standard (SOP) tetap diutamakan di mana kita membenarkan peniaga dan pengunjung yang sudah melengkapkan sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi sahaja memasuki ruang pasar ini.

"Selain itu juga peniaga dan pengunjung juga tetap dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang masa, mengimbas suhu dan aplikasi MySejahtera untuk memasuki pasar ini serta menjaga penjarakan fizikal antara satu sama lain," katanya ketika ditemui di Nat Pokok Getah di sini, hari ini.

Terdahulu, Azizan bersama Pengurus Nat Pokok Getah Md Lazim Kamis merasmikan pembukaan semula Nat Pokok Getah.

Menurutnya, peniaga dilarang sama sekali berniaga di kaki jalan dan hanya dibenarkan beroperasi di dalam kawasan yang sudah ditetapkan pengurusan pasar berkenaan.

"Bagi memastikan pematuhan SOP ditetapkan juga, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga ditempatkan di laluan utama masuk ke pasar ini selain rondaan berkala yang dilakukan oleh anggota polis di kawasan berkenaan.

"Dengan pembukaan semula pasar ini, adalah diharapkan dapat memberi kemudahan kepada peniaga untuk terus berniaga seiring dengan prinsip kerajaan negeri iaitu 'Perlis Bebas Niaga' di mana peniaga atau penjaja kecil dibenarkan berniaga selagi patuh mengikut syarat yang sudah ditetapkan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, bagi seorang penjual barangan terpakai, Arif Ahmad, 49, dari Alor Setar berkata, pembukaan Nat Pokok Getah itu sekurang-kurangnya dapat memberi 'nafas' buat dirinya yang terkesan akibat pelaksanaan PKP serta larangan rentas negeri sebelum ini.

"Saya sudah berniaga di merata tempat termasuk di Nat Pokok Getah selama 16 tahun dan apabila PKP berlaku, saya tidak dapat berbuat apa selain daripada duduk di rumah dan banyak barang terpakai seperti kasut yang saya jual rosak akibat reput kerana tidak boleh ke mana-mana," katanya.

Seorang pengunjung, Haslinda Majid, 27, dari Arau berkata, pembukaan semula Nat Pokok Getah itu memberi peluang kepadanya dan keluarga untuk kembali semula membeli barangan sambil menjamu selera di gerai yang dibuka dalam ladang terbabit.

"Diharapkan tempat ini terus menarik pelancong dari luar Perlis kerana ia adalah ikon atau 'trademark' kepada Pekan Arau," katanya.

Nat Pokok Getah itu beroperasi pada Jumaat dan Ahad bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:13 PM