PASUKAN Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama sembilan anggota dari Balai Polis Sekama dan Bintawa menjalankan serbuan Op Dadu ke atas sebuah pangsapuri di Bintawa. FOTO Ihsan PDRM
PASUKAN Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching bersama sembilan anggota dari Balai Polis Sekama dan Bintawa menjalankan serbuan Op Dadu ke atas sebuah pangsapuri di Bintawa. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Kuching: Dua wanita dan lima lelaki yang sibuk mengendalikan pusat panggilan perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bintawa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek termasuk warga asing berusia 18 hingga 28 tahun itu ditahan dalam Op Dadu kira-kira 4.30 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka yang bekerja sebagai operator di pusat panggilan itu dibayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

"Tugas kesemua suspek terbabit adalah mempromosikan perjudian dalam talian menerusi panggilan telefon dan aplikasi media sosial.

"Polis merampas pelbagai peralatan seperti tujuh unit monitor, empat unit CPU, empat unit papan kekunci, empat unit tetikus, seunit modem dan lapan unit telefon bimbit.

"Pusat pengendalian perjudian dalam talian itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu, dan mampu mengaut keuntungan kasar kira-kira RM102,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Tangkapan ini adalah kejayaan ke-20 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching ke atas kegiatan perjudian dalam talian bagi tempoh tiga bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 1:03 PM