Sebutir bom lama yang ditemui di Kampung Mengkadang, Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Sebutir bom lama yang ditemui di Kampung Mengkadang, Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sebutir bom lama seberat hampir 25 kilogram dipercayai ditemui di Kampung Mengkadang, Kolombong, di sini, hari ini.

Bom itu ditemui jam 10.30 pagi oleh penduduk kampung sebelum melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bom itu dipercayai masih aktif.

Katanya, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Bom lama jenis UXO seberat hampir 25 kilogram itu kemudian dibawa ke Lapang Sasar PDRM, Lok Kawi, di sini, untuk pelupusan.

"Proses pemusnahan bom dilakukan dengan lancar," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu Habibi menasihati orang ramai yang menemui sebarang objek mencurigai atau dipercayai bom supaya segera melaporkan kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

"Orang dinasihatkan supaya tidak mengusik, mengalih, menggerakkan objek berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 7:36 PM