BERNAMA

Bera: Bom seberat 226 kilogram dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua sebesar sebuah tong gas yang ditemukan di Felda Triang 1, di sini, Isnin lalu, berjaya dimusnahkan pada jam 11.15 pagi tadi oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman.

Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, persediaan meletupkan bom itu bermula semalam, dengan membina benteng pasir dan parit bagi mengurangkan impak letupan.

Beliau berkata, tanpa benteng pasir dan parit, kesan letupan iaitu gegaran, bunyi dan haba dijangka boleh dirasai sejauh dua kilometer mengambil kira besar bom jenis UXO Arial Bomb sepanjang 36 inci (0.91 meter) dengan ukur lilit 32 inci (0.81 meter) itu.

"Operasi meletupkan dilakukan menggunakan wayar peletus yang disambungkan pada bom itu sebelum diaktifkan dari jarak 200 meter memandangkan keadaan bom yang terletak kira-kira tiga kaki (0.91 meter) ke dalam tanah adalah berisiko jika dialihkan.

"Letupan pertama berlaku kerana kita membelah bom itu untuk mengeluarkan bahan letupan bagi mengelakkan kesan letupan menyeluruh manakala letupan kedua yang lebih kuat kira-kira 15 minit kemudian adalah bagi meletupkan fius dan booster," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Seramai 30 pegawai dan anggota UPB Bukit Aman terbabit dalam operasi itu selain turut dibantu unit sama dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dan Temerloh.

Mohammad Rafee berkata, pihaknya mempercayai bom itu adalah bom yang digugurkan pihak British dari kapal terbang, namun berkemungkinan tidak meletup disebabkan masalah teknikal seperti fius tidak stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, seramai 123 keluarga yang berada dalam lingkungan 500 meter dari lokasi penemuan, diarahkan berpindah ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berhampiran sejak awal pagi tadi hingga tamat operasi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

ASAP dari pelupusan bom lama oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM, di Felda Triang 1. FOTO Farizul Hafiz Awang
ASAP dari pelupusan bom lama oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM, di Felda Triang 1. FOTO Farizul Hafiz Awang

Beliau berkata, sejak penemuan bom itu, pihaknya mengepung lokasi terbabit kerana tidak mahu orang ramai menghampirinya, selain amaran operasi letupan dikeluarkan beberapa kali pagi ini supaya orang awam boleh mengambil tindakan sewajarnya.

Peneroka Mohd Sayuti Zakaria, 53, yang menemukan bom itu bersyukur keselamatan lapan ahli keluarganya 'terpelihara' walaupun bahan letupan itu hanya tertanam kira-kira 70 meter dari belakang rumah yang didiami mereka sejak 30 tahun lalu.

"Takut juga bila diingatkan kembali yang kami sering menebas semak samun dan membakar sampah di situ... malah bom itu pun dijumpai selepas saya menyewa pengorek-kaut untuk meratakan tanah kerana sedang berkira-kira mahu menyambung rumah pada masa depan," katanya.

Pemandu jentera berat itu, Mohd Fekri Mansor, 39, berkata dia memulakan kerja menggali tanah pada 2 petang, Isnin lalu sebelum merasakan besi pengorek seperti tersekat pada objek keras sekitar 3.30 petang.

Pada awalnya, Mohd Fekri beranggapan objek itu adalah batu menyebabkannya mencuba tiga kali untuk mengorek kawasan berhampiran sebelum melihat objek seakan-akan besi tertimbus dalam tanah.

"Saya mengintai dari tempat duduk (pengorek-kaut) dan bila diperhati, saya terdetik itu ialah bom. Tanpa membuang masa, saya terus meninggalkan jentera dan meminta tuan tanah untuk menghubungi polis," katanya yang mendakwa kali kedua 'bertemu' bahan letupan sepanjang bekerja.

Berita berkaitan

Bom perang dunia kedua seberat 226 kg ditemukan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:17 PM